SEORANG lelaki berusia 40 tahun berhadapan detik cemas dalam hidupnya apabila terkena lima das tembakan ketika sedang memandu di Lebuhraya Sungai Besi, Seremban-Kuala Lumpur, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8.40 pagi itu, mangsa, Low Aik Joon yang merupakan seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta parah setelah ditembak oleh suspek yang menaiki motosikal.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, suspek melepaskan enam tembakan ketika mangsa sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Damansara, Selangor.
“Dua daripada tembakan terkena pada tangan kanan mangsa, dua di leher dan satu di dada,” katanya.
Tambah Amar, motif kejadian masih belum dikenalpasti dan sedang disiasat.
Difahamkan, mangsa sebelum ini pernah membuat laporan polis setelah mendapat ugutan bunuh.
Sementara itu, pihak polis akan mengambil keterangan mangsa setelah keadaannya stabil.
Mangsa yang cedera di dada, leher dan lengan kanan kini sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. – MYNEWSHUB.CC