KUALA LUMPUR – Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menyelar pihak yang mengkritik langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menukar gelaran pasukan kebangsaan daripada Harimau Malaya kepada Harimau Malaysia.
JDT dalam satu kenyataan media berkata, jolokan Harimau Malaysia buat pasukan kebangsaan lebih sesuai untuk mewakili rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Malaysia bermaksud bukan sahaja orang Melayu, tetapi juga orang India, Cina, Orang Asli, Iban, Bidayuh, Kadazan, Murut dan banyak lagi.
“Sewaktu Sabah, Sarawak dan Singapura menyertai Malaysia sebagai negeri bersekutu pada tahun 1963, Malaysia telah ditubuhkan,” kata JDT menerusi laman Facebook rasmi kelab berkenaan hari ini.
JDT turut mengingatkan gelaran Harimau Malaya digunakan Jeneral Tomoyuki Yamashita, seorang jeneral terkenal yang memancung ramai rakyat Malaysia sewaktu pendudukan Jepun pada Perang Dunia Kedua.
Kata kenyataan itu, ia merupakan sejarah hitam tetapi Malaysia sebagai sebuah negara telah melupakannya.
Justeru, JDT mengucapkan tahniah kepada kepada FAM kerana menukar gelaran pasukan kebangsaan dari Harimau Malaya kepada Harimau Malaysia.
“Kini nama pasukan kebangsaan lebih seperti Malaysia yang kita semua tahu hari ini,” kata kenyataan itu. – Mynewshub.cc