KUALA LUMPUR – Malindo Air akan menambah kekerapan penerbangan bagi destinasi domestik terpilih yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada tempoh 4 hingga 17 Julai sempena sambutan Aidilfitri.
Ketua Pegawai Eksekutif, Chandran Rama Muthy berkata tambahan kekerapan penerbangan itu melibatkan laluan Kota Baharu, Alor Setar, Langkawi, Kuala Terengganu dan Pulau Pinang selain laluan Ipoh-Johor Baharu dan Melaka-Pulau Pinang.
“Kami mendapati permintaan penerbangan domestik tertentu adalah tinggi, jadi, kami rasakan wujud keperluan untuk menambah penerbangan bagi destinasi popular sempena Aidilfitri,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Malindo Air penerbangan tambahan itu menawarkan lebih daripada 15,000 tempat duduk.
Tiket penerbangan boleh ditempah melalui semua saluran pengedaran Malindo Air mulai hari ini. – BERNAMA