Jakarta - Tindakan pihak berkuasa tempatan di Serang, wilayah Banten, merampas makanan jualan seorang wanita mencetuskan kemarahan orang ramai, termasuk Presiden Joko Widodo (Jokowi).
Rakaman video menunjukkan wanita itu, Saeni, 53, menangis merayu penguat kuasa supaya tidak merampas barang jualannya.
Gerai makanannya diserbu kerana dibuka pada siang hari ketika umat Islam berpuasa, Jumaat lalu.
Berikutan kejadian berkenaan, pengguna Internet yang mengecam tindakan itu dilapor berjaya mengumpulkan hampir AS$20,000 (RM82,000) untuk membantunya dan peniaga lain yang senasib dengannya.
Sudah menjadi perkara biasa kedai di beberapa bandar di seluruh Indonesia diserbu kerana dibuka pada siang hari Ramadan.
Media tempatan melaporkan, Saeni berdepan dengan hutang dan mengambil keputusan menjalankan perniagaan pada siang hari bagi membolehkannya meningkatkan pendapatan.
Wanita itu merayu petugas supaya tidak merampas makanan yang dijualnya tetapi mereka tidak mengendahkannya, sebaliknya memasukkan makanan itu ke dalam beg plastik dan meninggalkan gerai itu.
Pihak berkuasa tempatan mempertahankan tindakan itu dengan berkata, Saeni melanggar undang-undang.
Kempen memungut derma kilat selepas video Saeni menjadi viral berjaya mengumpul lebih 265 juta rupiah (RM82,000).
Penganjur merancang mengagihkan wang itu kepada Saeni dan peniaga lain yangt turut menghadapi masalah sama. – Agensi/myMetro Online