KUALA TERENGGANU – Mayat lelaki dalam keadaan tertiarap dengan kesan dipukul di kepala ditemukan di Pantai Geliga, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa Razak Abdullah, dari Kampung Meraga Beris, Kijal, ditemui dalam keadaan tidak berbaju oleh sepasang suami isteri yang sedang bersantai di pantai itu kira-kira pukul 5 petang.
“Pasangan tersebut bertindak menghubungi polis setengah jam kemudian selepas tiada tindak balas yang diperoleh ketika cuba mengejutkan mangsa.
“Hasil siasatan mendapati mangsa yang berumur dalam lingkungan 45 tahun itu kemungkinan meninggal dunia selepas dipukul dengan objek tumpul di kepala,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Menurut Mohd Said, polis juga percaya mangsa meninggal dunia kurang dari tempoh 24 jam berdasarkan pada keadaan mayatnya.
Beliau berkata pihaknya turut menemui motosikal jenis Modenas Elit milik mangsa yang berada tidak jauh daripada mayatnya dan dalam raga motosikal itu ditemui beg pinggang miliknya.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan orang ramai yang mengetahui atau melihat kejadian itu diminta tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – BERNAMA