MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bertindak merobohkan enam papan iklan besar di sekitar negeri itu dalam tempoh lebih tiga minggu lepas bagi mengelak berulangnya insiden papan iklan runtuh yang meragut nyawa seorang warga emas, pada 24 Mei lepas.
Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Hussin berkata kesemua papan iklan berkenaan dirobohkan di sekitar Bandar Hilir dan Taman Melaka Raya kerana didapati tidak mendapat kelulusan MBMB selain struktur papan iklan berkenaan tidak kukuh dan berbahaya.
“Usaha ini kita akan lakukan secara konsisten…selain kita mahu memastikan kawasan MBMB sentiasa selamat dan tidak mengundang bahaya kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan pemantauan di Bazar Klebang di sini, malam tadi.
Turut hadir Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Datuk Ismail Othman.
Ditanya mengenai perkembangan siasatan papan iklan yang roboh dan menyebabkan kematian itu, Zainal berkata siasatan menyeluruh telah dilakukan dan hasil siasatan akan dibawa ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.
Dalam kejadian pada 7.15 pagi, 24 Mei lepas, penunggang motosikal Ahmad Yusop yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Pokok Mangga, dihempap papan iklan yang secara tiba-tiba tumbang.
Mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam perkembangan lain, Zainal berkata anggota penguatkuasa MBMB akan menjalankan pemantauan di semua lokasi tumpuan orang ramai terutama di sekitar bazar bagi mengesan sindiket kutipan derma tidak sah yang semakin meningkat sepanjang bulan Ramadan ini.
Beliau berkata kutipan derma yang dilakukan perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa terutama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi kutipan derma yang bergerak atas nama agama.
“Kita serius untuk menangani masalah ini kerana kita tidak mahu ia menjadi satu sindiket yang berleluasa untuk meraih keuntungan daripada kutipan derma yang dilakukan,” katanya.
Justeru, katanya MBMB meletakkan kira-kira 30 anggota penguatkuasa di empat bazar utama di negeri itu iaitu di Jalan Hang Tuah, Klebang, Telok Mas dan Stadium Hang Jebat bagi memantau aktiviti berkenaan. – BERNAMA