KUALA LUMPUR – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menubuhkan Jawatankuasa Pencegahan Jenayah Berkaitan Dadah MCPF bagi membantu kerajaan menangani gejala penyalagunaan dadah dalam kalangan masyarakat.
Naib Pengerusi Kanannya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penubuhan jawatankuasa itu juga selaras dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa 2016 tahun untuk memerangi najis dadah habis-habisan.
“MCPF tidak dapat melaksanakannya secara bersendirian dan menganggap penyertaan daripada semua pihak amat penting. Antara program yang telah dirangka adalah penganjuran bengkel melibatkan golongan belia di Kelantan dan Kedah sebagai lokasi panas.
“Bengkel ini bertujuan mengenal pasti dan mendapatkan maklum balas mereka yang terdiri daripada golongan generasi Y terhadap isu berkaitan dadah serta keberkesanan penganjuran program pencegahan dan pemulihan yang telah dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Lam Thye berkata, penagihan dan penyalahgunaan dadah punca utama pelbagai kejadian ragut, pecah rumah dan lain-lain jenayah.
Justeru, katanya, selagi masalah penagihan dadah tidak dapat diatasi, banyak jenayah berkait rapat dengan dadah akan terus berlaku.
“Fenomena penagihan pula kini dilihat semakin membimbangkan apabila ia semakin menular di kalangan remaja bahkan turut melibatkan pelajar sekolah rendah seawal usia 7 tahun,” katanya. – myewshub.cc