SEBAGAI memenuhi tanggungjawab korporat sosial (CSR), Moha Group Sdn. Bhd. tidak pernah gagal mengadakan program tahunan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim yang telah dijadikan sebagai agenda syarikat sejak ia ditubuhkan pada 2005.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yaya Mohamad, memang menjadi tradisi buat syarikatnya untuk meraikan golongan yang kurang bernasih baik bagi bersama-sama merasai keindahan Ramadan dan perayaan Aidilfitri yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi.
Untuk tahun ini, Moha Group telah meraikan sejumlah 50 orang anak-anak yatim dari Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP), Bangi.
“Majlis ini diadakan bagi mengeratkan hubungan silahturahim sesama anak syarikat dengan masyarakat luar melalui suatu program berbuka bersama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Moha Group di Puri Buana, Bangi, semalam.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan dendangan lagu dari penyanyi Adira AF dan bintang baru yang popular sebagai Raja Smule, Khai Bahar.
Beberapa acara selingan turut diadakan iaitu sesi penyerahan duit raya kepada anak-anak yatim dan staf Moha Group, pemberian hadiah untuk pertandingan Deko Raya Cawangan Tercantik, Jualan Cawangan Tertinggi dan Staf Berpenampilan Paling Menarik.
Bercakap mengenai perkembangan syarikatnya, Yaya berkata, tahun ini pihaknya menyasarkan untuk meluaskan empayar ke negeri Pantai Timur.
“Moha Trading yang memasarkan produk-produk kecantikan, tahun ini kami menyasarkan untuk masuk (buka cawangan) ke Pantai Timur,” katanya yang kini sudah mengusahakan sebanyak sembilan buah cawangan pusat kecantikan dan spa di sekitar Lembah Klang dan Melaka. – MYNEWSHUB.CC