SEBUAH kamera rakaman litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah kedai emas di India merakam satu ‘tragedi’ yang tidak diduga.
Menerusi klip video berdurasi 1 minit 7 saat itu, seekor monyet dilihat berada di pintu hadapan premis berkenaan dan tidak mengendahkan seorang pekerja yang cuba menghalaunya dengan memberikan buah.
Monyet itu kemudiannya menolak pintu kaca dan meluru masuk ke dalam kedai, seterusnya melompat ke bahagian kaunter lalu membuka laci dan mengambil sejumlah wang kertas sebelum berlalu pergi sambil mengigit wang curian di mulutnya.
Cubaan pekerja kedai untuk mendapatkan semula wang terbabit gagal, walaupun mereka cuba mengalihkan perhatian monyet itu dengan memberikannya pisang.
Monyet berkenaan berjaya melarikan kira-kira USD 144 dolar (RM586.97). – MYNEWSHUB.CC