KUALA LUMPUR – Seramai 28 anggota pengkuatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyerbu sebanyak lima premis pusat penyembelihan ayam di sekitar Puchong, Selangor pada 14 Jun lalu.
MPSJ dalam satu kenyataan media memberitahu, serbuan itu bertujuan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas premis penyembilhan ayam.
“Pemeriksaan ini adalah untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis pusat penyembelihan ayam yang tidak mempunyai lesen perniagaan.
“Ini termasuk premis penyembelihan ayam berlesen tetapi melanggar syarat-syarat pelesenan atau menyalahgunakan lesen yang diberikan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut MPSJ, hasil operasi mendapati tiga premis penyembelihan ayam tidak mempunyai lesen perniagaan dan dikenakan tindakan penutupan.
Kata kenyataan itu, notis tindakan kompaun turut dikenakan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2007 dengan denda maksimum RM 1,000.
Tambah MPSJ, dua lagi premis didapati telah melanggar syarat pelesenan dengan melakukan aktiviti penyembelihan dan tindakan notis serta kompaun telah dikenakan di bawah peruntukan undang-undang yang sama.
“Bagi premis yang dikenakan tindakan penutupan tidak dibenarkan beroperasi dan akan di bawa ke tindakan mahkamah manakala premis yang diberikan notis, mereka diberikan tempoh untuk mematuhi arahan notis tersebut,” kata kenyataan itu. – mynewshub.cc