SEBELUM ini nama Nabila Huda sering dikaitkan dengan kontroversi tetapi sejak kebelakangan ini, tidak lagi.
Menurut Nabila yang lebih mesra dipanggil Abil, dia berasa gembira dengan perubahan itu dan kini mahu fokus kepada keluarga dan kerjaya sahaja.
“Saya tidak mahu lagi membuat perkara yang boleh mengecewakan keluarga, terutama ayah saya.
“Hubungan kami pernah renggang dahulu, jadi saya harap dengan perubahan ini akan datang menjadi lebih baik,” katanya kepada SH Online.
Baru sahaja mendirikan rumah tangga enam bulan lalu, Abil menjelaskan dia akan lebih berhati-hati dengan setiap yang dilakukan dan mengakui lebih selesa menghabiskan masa menguruskan rumah jika tiada sebarang kerja.
“Kalau tak ada urusan penting, saya tidak akan keluar rumah dan berasa seronok dengan kehidupan sebegini,” tambahnya.
Bagi Abil, dia tidak kisah jika tidak dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat kerana dia dan suami hanya berserah kepada rezeki dan masih lagi menikmati detik-detik indah sebagai ‘berbulan madu’. – MYNEWSHUB.CC