SEORANG lelaki terkejut apabila menemui seekor ular tedung dalam mangkuk tandas rumahnya yang terletak di Kampung Sungai Kerang semasa bangun untuk bersahur, awal pagi semalam.
Menurut Mohd Sahidi Saad, 38, dia terlihat ular tersebut ketika ingin memasuki tandas rumahnya selepas selesai bersahur dan segera memaklumkan ahli keluarga yang lain.
“Saya ternampak satu objek hitam sebesar lengan kanak-kanak di dalam mangkuk tandas dan ianya berkilat serta bergerak-gerak.
“Selepas melihat dengan teliti, saya mendapati ianya seekor ular. Saya segera memberitahu ahli keluarga yang lain supaya mereka tidak memasuki tandas,” katanya dalam laporan disiarkan Sinar Harian, hari ini.
Sahidi kemudian menelefon Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Hilir Perak untuk membantu menangkap ular tedung tersebut.
Menurut pegawai JPAM Mohd Fazly Mohamad Zawawi, pihak mereka mendapati ular tersebut berada di dalam lubang tandas dan bersifat agresif tetapi mereka berjaya menangkapnya menggunakan penyepit. – MYNEWSHUB.CC