SEPANJANG 25 tahun, siapa sangka sebuah stesen minyak mampu meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat yang tinggal di kawasan sekitarnya.
Itulah yang dirasai oleh mereka yang berasa terharu apabila mendapati stesen minyak Petronas di Kampung Baru, Kuala Lumpur bakal ditutup untuk selama-lamanya tidak lama lagi.
Seorang jurukamera dan blogger terkenal, Shamsul berkongsi perasaannya apabila mendapat tahu stesen minyak yang banyak berjasa di tengah-tengah Kuala Lumpur itu akan ditutup untuk pembangunan MRT.
Katanya, banyak kenangan pahit manis warga Kuala Lumpur bermula di stesen minyak itu, yang menjadi landmark untuk pelbagai pertemuan termasuk mereka yang pertama kali bertamu ke ibu kota.
Ternyata, luahannya menerima banyak respon yang sama, perasaan nostalgia terhadap lokasi berkenaan yang akhirnya perlu dikorbankan demi keperluan semua orang.
Menyamakan nasib stesen ini dengan bangunan Ampang Park yang terpaksa dihentikan khidmatnya demi pembangunan yang rancak dibina, berikut nukilan jurukamera yang lebih dikenali sebagai Ondscene Shamsul ini.
MRT – Atas Nama Pembangunan : Terharu Berakhir Sayu – Petronas Kg Baru Tinggal Kenangan.
Nota : kepada yang ada kenangan di sini, sila jangan sebak membacanya. Anggaplah ia sebagai umpama kenangan berakhirnya legasi Ampang Park
Kampung Baru
Kuala Lumpur
31 Mei 2016
Pagi ini, ketika hendak mengisi petrol di Petronas Kg Baru, juruwang menghulurkan dua bungkusan makanan ini.
Sebungkus meehun goreng dan kuih (karipap dan cucur badak). Di atas bungkusan meehun, ada stiker :
Terima Kasih Di Atas Sokongan Anda Selama 25 tahun dari kami PETRONAS KAMPUNG BARU.
Perasaan terharu terbit kerana kemurahan hati pengurusan yang memberikan ‘hadiah’ kepada pelanggan yang datang.
Tapi sebenarnya, perasaan terharu itu kemudiannya bertukar sayu.. Ye – 7 Jun 2016 ini segalanya berakhir di mana operasi stesen Petronas ini akan dihentikan selama-lamanya untuk memberi laluan kepada projek pembinaan MRT.
Banyak kenangan pahit manis kepada ramai warga Kuala Lumpur sejak adanya stesen minyak Petronas ini.
Ia antara beberapa stesen minyak yang berada di tengah-tengah pusat bandaraya dan akhirnya ia menemui penghujungnya.
Beberapa tahun lalu di sebelahnya adalah stesen NGV Petronas yang akhirnya dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan hartanah.
Petronas Kampung Baru sejak sekian lama menjadi ‘landmark’ untuk pertemuan atau kepada mereka yang pertama kali sampai di tengah pusat bandaraya.
“OK, Jumpa di Petronas Kg Baru. I tunggu u di tepi tu…”
“Hang tau tak Kampung Baru? Hang sampai Petronas, hang berhenti sana, aku mai datang ambik…”
“Aku dok jupe jalang ni mek. Nok hala mannna ni. Kiri aku ader Petronah. Bengong aku jalang Kei El ning ..”
“Kitak ada nangga Peteghonass ngakk? Tunggu sitok, kamek sampai…”
Itu antara dialog yang mungkin pernah berlaku sepanjang 25 tahun memberikan khidmatnya.
Dulu, saya selalu menjadikan Petronas Kg Baru sebagai ‘sasaran’ untuk merakamkan visual ketika kenderaan beratur panjang membeli minyak apabila harga minyak diumumkan akan naik.
Ia juga lokasi sangat sesuai dan mudah untuk mendapatkan ‘s.o.t. voxpop’ jika mau temubual pengguna tentang isu kenaikan harga minyak.
Dengan berlatarbelakangkan bangunan KLCC, ia seolah memberikan gambaran, tiada apa yang akan dapat membantu untuk ia tidak dirobohkan jika itu kehendak mereka yang menamakannya atas nama pembangunan.
Ia senasib dengan bangunan Ampang Park.
Nota :
Untuk rekod, atas nama pembangunan dan pembinaan MRT, banyak stesen minyak telah lenyap di muka bumi ini di Kuala Lumpur dan banyak memberi kesan kepada pengguna jalanraya.
Antaranya :
Petron dan Shell di Pusat Bandar Damansara
BHP di sebelah Eastin Hotel
Shell di Jalan Damansara seberang jalan plaza Tol
Caltex di kiri dan kanan jalan Damansara berhampiran Taman Tun Dr Ismail.
Petronas Kampung Baru
Jumlah : 7 buah (sekurang-kurang) – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Facebook Ondscene Shamsul