WASHINGTON – Presiden Barack Obama mengutuk pembunuhan ‘kejam’ Jo Cox, ketika menyampaikan ucap takziah kepada suami Ahli Parlimen British berkenaan dan memuji perkhidmatannya yang tidak mementingkan diri.
Menurut Rumah Putih, Obama menghubungi Brendan Cox dari dalam pesawat presiden, Air Force One, sehari selepas Ahli Parlimen itu dibunuh dengan kejam.
“Presiden Obama menyampaikan ucap takziah ikhlas beliau bagi pihak rakyat Amerika kepada Cox dan dua orang anaknya yang masih kecil, juga kepada rakan-rakannya, rakan sekerja serta pengundi,” menurut kenyataan itu.
“Presiden berkata, dunia ini menjadi tempat yang lebih baik disebabkan oleh perkhidmatan beliau kepada orang lain yang tidak mementingkan diri.
“Tidak ada sebarang justifikasi ke atas jenayah kejam yang meragut kebahagiaan sebuah keluarga, masyarakat dan bangsa daripada seorang isteri, ibu dan penjawat awam yang berdedikasi.” – AFP