SEREMBAN – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Sembilan mengenal pasti 11 lokasi di negeri itu untuk diadakan pasar tani khas Mantai Syawal bermula 1 Julai hingga 5 Julai ini.
Lokasi terlibat ialah Bandar Seri Jempol pada 1 Julai mulai 7 pagi hingga 12 tengah hari; Giant Lukut, Port Dickson (1 Julai: 4 petang-10 malam); Rembau (2 Julai: 7 pagi-12 tengah hari); Kuala Pilah (2 Julai: 7 pagi-12 tengah hari); Nilai (2 Julai: 7 pagi-12 tengah hari); Seri Pulai 3, Seremban (2 Julai: 7 pagi-12 tengah hari).
Batu Kikir, Jempol (3 Julai: 7 pagi-12 tengah hari); Paroi Jaya, Seremban (3 Julai: 7 pagi-12 tengah hari); Gemencheh (3 Julai: 7 pagi-12 tengah hari); Palong 4,5 & 6 (4 Julai: 7 pagi-12 tengah hari) dan Ampangan, Seremban (5 Julai: 7 pagi-12 tengah hari).
Pengarah Fama Negeri, Muslim Manja berkata pasar tani khas Mantai Syawal ini bertujuan memberi peluang dan kemudahan kepada orang ramai khususnya umat Islam untuk mendapatkan pelbagai keperluan dapur untuk sambutan Aidilfitri pada harga yang terkawal dan berpatutan.
“Dengan adanya pasar tani khas ini Mantai Syawal ini, ia juga memberikan alternatif kepada para pengguna untuk mendapatkan keperluan mereka secara mudah selain pasar-pasar lain sedia ada,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya pihaknya telah pun meminta para usahawan niaga di 11 buah pasar tani terlibat untuk menambahkan stok jualan mereka khususnya bagi barangan keperluan utama seperti ayam proses, daging lembu segar, kelapa, santan dan 19 jenis sayuran yang mendapat permintaan tinggi sewaktu Aidilfitri termasuk cili hijau, cili merah, daun sup, daun bawang, halia, kacang panjang, kacang buncis dan kacang bendi.
Selain itu, katanya Fama Negeri Sembilan juga akan mengadakan program Mantai Syawal di Pasar Komuniti (PAKAR) Paroi pada 3 hingga 5 Julai mulai 7.30 pagi hingga 5.30 petang dengan jualan yang akan diadakan di situ merangkumi daging lembu segar tempatan, ayam proses standard, santan dan kelapa, produk salaian dan sayur-sayuran.
Muslim berkata Fama telah menjalankan pelbagai inisiatif penurunan harga di pasar tani dan penurunan harga yang diperkenalkan pada masa ini melibatkan 74 jenis barangan terpilih iaitu sayur-sayuran (30 jenis), ikan dan hasil laut (22 jenis), buah-buahan (12 jenis), barangan pelbagai dan barangan runcit (lapan jenis), daging (1 jenis) dan ayam (1 jenis).
“Penawaran harga di antara 5 peratus hingga 20 peratus ke atas barangan tersebut adalah lebih rendah berbanding harga pasaran semasa di pasar basah terhampir,” katanya.
Beliau berkata para usahawan niaga di pasar tani juga adalah tidak terkecuali dalam mematuhi skim kawalan harga musim perayaan melibatkan 19 jenis
barangan yang telah diwartakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan mewajibkan penggunaan warna merah jambu pada papan tanda harga bagi setiap 19 jenis barangan kawalan yang terlibat.
“Tarikh berkuatkuasanya kawalan harga ini adalah mulai 16 Jun dan berakhir pada 6 Julai,” katanya. – BERNAMA