DUNGUN – Seramai 166 Pegawai dan anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Negeri (KPNDKK) akan melakukan pemantauan sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud berkata mereka akan memulakan operasi bermula 16 Jun hingga 6 Julai depan.
Katanya sepanjang operasi itu pihaknya akan memantau dan menyekat kenaikan harga bagi 21 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan.
“Orang awam juga akan bertindak sebagai ‘mata-mata’ membantu penguatkuasa membuat pemantauan di premis perniagaan jika ada peniaga menaikkan harga barangan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Kempen Keselamatan Makanan dan Nafas Baru Bermula Ramadan 2016 di Bazar Ramadan Paka, di sini.
Beliau turut mengingatkan para peniaga supaya tidak menaikkan harga 21 jenis barangan terbabit yang dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Jelasnya jika peniaga didapati bersalah mereka boleh didenda RM100,000 dan penjara atau kompaun maksimum RM50,000 bagi individu.
Dalam pada itu Roslee berkata, KPNDKK Terengganu mengeluarkan 655 notis amaran pelbagai kesalahan terhadap peniaga di bazar ramadan di seluruh negeri ini.
“Kebanyakan mereka diberi notis kerana tidak meletakkan tanda harga dan selepas ini KPNDKK tidak akan berkompomi lagi dan akan mengeluarkan saman sekiranya peniaga masih ingkar,” katanya.
Roslee bagaimanapun berpuas hati dengan aspek kebersihan yang diamalkan para peniaga di beberapa bazar ramadan di Dungun dan Paka sejak bermula Ramadan.
Beliau berharap pasukan penguat kuasa kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah dan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) meneruskan pemantauan dan pemeriksaan terhadap peniaga.
“Kita merayu kepada peniaga bazar ramadan mematuhi etika dan peraturan pengendalian makanan supaya makanan disedia dan dijual kepada pengguna selamat serta bebas daripada pencemaran,” katanya. – BERNAMA