KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Jabatan Imigresen Selangor dihukum penjara seminggu dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Shah Alam hari ini kerana menerima wang rasuah RM4,000 pada tahun lalu.
Penjawat awam tersebut, Mohd. Faizal Ariff Mohd. Nasir, 32, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah menerima rasuah itu sebagai dorongan membebaskan tiga orang warga asing yang ditahan kerana menyalahgunakan permit kerja.
“Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Imigresen Selangor pada 24 Mac tahun lalu dan dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Tertuduh akan dikenakan hukuman penjara seminggu sekiranya gagal membayar denda RM6,000 tersebut,” kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Norazlan Mohd. Razali dalam kenyataan sama berkata, perbuatan rasuah seperti itu perlu dibendung.
Menurutnya, rasuah itu boleh menyumbang kepada masalah lambakan pekerja asing dalam sektor industri tertentu.
Jelas beliau, sekiranya masalah tersebut tidak diatasi dengan segera, ia akan membantutkan usaha kerajaan untuk mengawal selia bagi memastikan pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini bekerja di industri yang sepatutnya. – mynewshub.cc