KUALA LUMPUR – Seorang pembuat jubin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap pertuduhan mencabul anak perempuannya yang berusia lima tahun pada Januari lepas.
Lelaki berusia 51 tahun itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap anaknya itu dengan maksud hendak mencabul kehormatan mangsa di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Jinjang Tambahan Utara, Sentul di antara 11 malam 22 Jan hingga 7 malam 24 Jan lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal meminta jaminan RM15,000 tetapi tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu dengan alasan dia perlu menyara ibu, adik dan dua orang anak termasuk mangsa.
Majistret Mohd Rehan Mohd Aris membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai untuk sebutan semula kes. – BERNAMA