SESUATU yang menarik dan harus dipuji berlaku di sebalik kehangatan hari penamaan calon di PRK Sungai Besar, pagi tadi.
Ianya sesuatu yang jarang dapat dilihat iaitu pemimpin PAS dan UMNO duduk semeja dan makan bersama-sama.
Namun itulah yang berlaku apabila Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron kelihatan mesra menjamu selera bersama Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali, sementara menanti pengumuman penamaan calon.
Pada masa sama, muslimah PAS dilihat turut melakukan perkara serupa apabila dirakam duduk semeja dan berbual-bual bersama Wanita UMNO.
Apa yang berlaku hari bagai membenarkan pendirian PAS yang sejak kebelakangan ini kelihatan semakin ‘mesra’ dan lebih terbuka dalam hubungannya dengan UMNO.
Ketika Muktamar PAS ke-62 di Kelantan baru-baru ini juga, pemimpin PAS telah melakukan satu tindakan ‘drastik’ iaitu memakai baju Melayu yang selama ini dilakukan oleh UMNO ketika perhimpunan parti diadakan. – MYNEWSHUB.CC