ORLANDO – Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkata, Omar Mateen pernah disiasat dan dibebaskan selepas didakwa ada kaitan dengan seorang pengebom bunuh diri Amerika serta selepas memberi komen berbau keganasan kepada seorang rakan sekerja.
Matee, 29, adalah penembak yang mati ketika berbalas tembak dengan polis dalam kejadian serangan di sebuah kelab malam gay di Orlando.
Beliau adalah warga negara Amerika berasal dari keluarga Afghanistan yang tinggal di New York dan kini menetap di Port St Lucie, Florida.
Mateen didapati membuat panggilan kepada talian 911 menyatakan ikrar taat setia kepada militan Kumpulan Negara Islam (IS) sebelum melakukan pembunuhan itu.
Pihak berkuasa menemui senjata api, jenis senapang serangan AR-15 dan sejumlah peluru yang tidak diketahui jumlahnya daripada suspek.
Mateen sebelum itu melepaskan tembakan rambang di dalam kelab berkenaan dan menahan beberapa orang tawanan dalam drama tebusan selama tiga jam yang berakhir selepas pihak berkuasa menyerbu premis berkenaan.
Pulse adalah kelab Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) popular di Orlando yang sering mengadakan pertunjukan ‘ratu pondan’.
Tidak diketahui berapa ramai berada di dalam kelab berkenaan ketika serangan, tetapi ia dikatakan padat dengan pengunjung malam minggu yang mahu berhibur sambil menyaksikan pertandingan ratu pondan.
Kelab malam itu adalah milik bersama Barbara Poma dan seorang rakan kongsi yang membukanya selepas kematian adiknya pada 1991 akibat HIV. – AFP/BH ONLINE