JOHOR BAHARU – Seorang pengganggur yang dipercayai memperdayakan seorang operator kilang untuk menyerahkan sejumlah wang kepadanya bagi membebaskan bapa operator tersebut dari Penjara Changi, Singapura ditahan semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki berusia 27 tahun dan berasal dari Pasir Gudang itu ditahan di Ulu Tiram di sini kira-kira pukul 2.30 petang.
Beliau berkata mangsa baharu sahaja mengenali penganggur itu yang mendakwa bekerja sebagai setiausaha Sultan Johor dan berjanji akan membantu membebaskan bapanya.
“Mangsa menyerahkan wang berjumlah RM52,800 kepada suspek mulai 12 Mei hingga 9 Jun lalu. Namun semakan mangsa dengan pihak istana kemudiannya mendapati suspek tidak bekerja di istana dan berikutan itu mangsa membuat laporan polis,” katanya.
Wan Ahmad Najmuddin berkata suspek direman di Mahkamah Majistret Johor Baharu bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu. – BERNAMA