BATU PAHAT – Mayat wanita warga emas yang hilang selepas keluar ke kebun berhampiran Kampung Parit Bingan Laut, Parit Raja, kelmarin, ditemui 2.30 petang tadi.
Mayat Dijah Asir, 81, ditemui berhampiran tebing Sungai Semberong, di sini, kira-kira 150 meter dari lokasi dia dikatakan hilang.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mayat terbabit dijumpai oleh seorang pengembala kerbau yang kebetulan melalui lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa berkemungkinan terjatuh ketika berada berhampiran sungai berkenaan.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan keluarga mangsa juga sudah membuat pengecaman identiti warga emas terbabit berdasarkan pakaian pada mayat terbabit. Mayat kemudian di bawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk siasatan lanjut,” katanya. – Harian Metro