Kuala Lumpur – Peniaga warga asing yang menjual sirih di Jalan Silang, di sini dikesan menggunakan khidmat ‘mata-mata’ untuk menghidu pergerakan pihak berkuasa yang membuat operasi di lokasi berkenaan.
Walaupun operasi dijalankan setiap hari, namun mereka masih berdegil dan menjalankan perniagaan secara haram itu tanpa berasa khuatir dikenakan tindakan.
Bukan saja menjual secara haram di kaki lima, malah warga asing terbabit meludah sesuka hati di tempat awam sehingga menyebabkan persekitaran menjadi kotor.
Dalam operasi yang dijalankan Bahagian Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula jam 2 petang, semalam, enam peniaga terdiri daripada tiga penjual sirih dan tiga tukang kasut ditahan.
Ketua Inspektor Penguat Kuasa DBKL K Rama berkata, sepanjang 2015, sebanyak 223 kes dilaporkan terhadap peniaga sirih menerusi operasi ‘Anti Kotor’ dan 665 notis kompaun bagi kesalahan meludah di tempat awam membabitkan jumlah RM66,500.
“Pihak DBKL sentiasa mengambil tindakan tegas terhadap sikap warga asing tidak bertanggungjawab meludah di kawasan awam,†katanya selepas mengetuai operasi harian di Jalan Silang, di sini, semalam.
Menurutnya, setiap kali operasi dijalankan, ‘mata-mata’ akan menjalankan tugas mereka dengan melaporkan kepada peniaga sekiranya terlihat kenderaan penguat kuasa berada di kawasan berhampiran.
Rama berkata, mereka akan menjual dengan harga seringgit ke dua ringgit satu plastik. Warga asing pula akan mengunyah daun sirih itu sebelum meludah sesuka hati di atas jalan dan kesan kotoran berwarna kemerahan itu sukar untuk dibersihkan. – myMetro Online