SEORANG penyanyi yang juga bekas peserta The Voice Mexico maut selepas ditembak ketika menghadiri parti sambutan hari lahirnya, baru-baru ini.
Alejandro Fuentes, 45, mati Sabtu lalu selepas ditembak tiga kali di bahagian kepala pada malam Khamis di Chicago, Amerika Syarikat.
Alejandro yang menyertai program realiti The Voice lima tahun lalu, diserang ketika memasuki kereta bersama rakannya. Sorang lelaki bersenjata dikatakan mengarahkannya keluar dari kenderaan lalu menembaknya.
Menurut pihak polis mereka masih lagi memburu suspek serangan tersebut.
Polis tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan kes samun kereta atau rompakan.
Serangan terhadap Alejandro berlaku tidak sampai seminggu bekas peserta The Voice, Christina Grimmie, 22, maut selepas ditembak ketika menjayakan majlis ramah mesra bersama peminat selepas tamat persembahannya di The Plaza, Florida, 11 Jun lalu. – MYNEWSHUB.CC