KANGAR – Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) Perlis meraikan lebih 1,200 saudara baru berbuka puasa secara bergilir sejak 7 Jun dan berakhir malam tadi.
Pegawai Perkim negeri, Abd Rahim Abdullah berkata majlis berlangsung di Pusat Aktiviti Perkim Perlis di Jalan Syed Safi di sini, dan dihadiri purata 70 saudara baru serta pasangan mereka, setiap hari.
Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau berkata Perkim negeri menyediakan peruntukan lebih RM20,000 bagi menjayakan program itu termasuk tambang perjalanan mereka dan bayaran penceramah.
Katanya majlis berbuka puasa itu dimulai dengan tazkirah keagamaan, solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih, dan merupakan program tahunan Perkim negeri lebih 10 tahun lepas bertujuan merapatkan hubungan dengan saudara baru. – BERNAMA