Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

VIDEO: Detik Cemas Tali...

SATU video rakaman detik cemas yang dilalui oleh dua penerjun udara mulai viral selepas...

Pesawat Lion Air Yang...

JAKARTA - Pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Karawang adalah sebuah pesawat...

Nik Jaafar Penerima Anugerah...

PUTRAJAYA – Tokoh agama dan guru al-Quran Datuk Nik Jaafar Nik Ismail dinobatkan...

B40: Kerajan Hasrat Perluas...

KUALA LUMPUR – Kerajaan berhasrat memperluas skim Sewa Untuk Milik (RTO) kepada kumpulan...

Permaisuri Siti Aishah Penaung Projek Wakaf Telekung

KUALA LUMPUR – Suatu masa dahulu wanita bernama Siti Aishah Abdul Rahman dari Selangor pernah bersemayam di atas takhta kebesaran kerajaan Malaysia dengan gelaran Raja Permaisuri Agong.

Sebagai permaisuri kepada Yang Dipertuan Agong ketika itu, Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Permaisuri Siti Aishah adalah wanita termuda yang pernah diangkat sebagai Permaisuri Agong iaitu pada usia 28 tahun pada 26 April 1999.

Pastinya masih ramai yang mengingati personaliti ini, yang juga memecah tradisi sebagai Permaisuri Agong pertama membawa imej bertudung.

Semenjak kemangkatan Sultan Salahuddin pada 2001, Permaisuri Siti Aishah betah menjalani kehidupan sebagai seorang wanita ‘single’ berdikari, jauh daripada teduhan payung kuning dan kawalan pagar istana.

Ini bukanlah bermakna bahawa selama ini Permaisuri Siti Aishah tidak prihatin pada isu semasa atau kebajikan masyarakat, tetapi Permaisuri Siti Aishah lebih gemar beramal di sebalik tabir.

Sehinggalah baru-baru ini apabila dilamar untuk menjadi penaung bagi satu projek wakaf telekung kelolaan Syarikat D’or Rue Sdn. Bhd. sebuah syarikat pembuatan aksesori wanita.

“Program ini menyentuh hati saya sebab ia melibatkan amalan solat. Ia satu program yang murni sebab itulah saya melibatkan diri.

“Selalunya saya di belakang tabir sahaja, tetapi kali ini saya mahu mara ke depan, sebab saya rasa projek ini adalah sesuatu yang proaktif,” jelas Permaisuri Siti Aishah ketika ditemuramah usai majlis perasmian Projek Wakaf Telekung Siti Aishah di sebuah hotel di sini pada 26 Mei lepas.

RINDU

Mengimbas kenangan bersama Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, khususnya pada bulan puasa, Permaisuri Siti Aishah menceritakan beliau dan Almarhum Tuanku biasanya akan berada di istana di Morib.

Pasangan diraja itu mengimarahkan Ramadan dengan bersolat terawih di masjid-masjid berlainan di sekitar Morib pada setiap malam, sebagai satu cara untuk berjumpa dan bermesra bersama rakyat.

“Dan Almarhum juga akan buat rumah terbuka di Morib semasa hari raya. Baginda suka di situ kerana ada zoo mini.

“Kami selalu pergi melihat haiwan-haiwan yang Almarhum pelihara seperti rusa, kura-kura, burung Flamingo, kangaroo, kambing dan banyak lagi,” ujar beliau yang menyifatkan Sultan Salahuddin sebagai seorang suami yang penyayang dan prihatin, serta sentiasa menjaga kebajikannya.

“Yang saya paling rindu tentulah sikap baginda yang suka menyakat orang,” katanya.

MENGUMPUL RESEPI

Merentas jangka masa 15 tahun, kini Permaisuri Siti Aishah selesa ‘menyamarkan’ diri dalam kalangan rakyat jelata.

Malah ketika wawancara diadakan, Permaisuri Siti Aishah tidak segan untuk memberitahu wartawan bahawa beliau telah membawa kereta sendiri ke majlis ini.

“Hari ini saya datang sini saya ‘drive’ sendiri. Saya jadi ‘driver’ pula kepada ibu saya,” katanya yang menghadiri majlis tersebut bersama ibu dan beberapa orang ahli keluarga yang lain.

Permaisuri Siti Aishah banyak meluangkan masa bersama keluarga angkat yang ramai, di samping keluarga sendiri, yang disebutnya sebagai “business kasih sayang”.

Selain itu Permaisuri Siti Aishah juga gemar memasak dan mengumpul resepi.

“Saya suka mendalami ilmu (masakan) dengan chef chef yang terkemuka dan surirumah,” katanya yang menyimpan himpunan resipi untuk dikongsi bersama rakyat.

Niat Permaisuri Siti Aishah ialah untuk menerbitkan koleksi berkenaan dalam bentuk mampu milik dan bukan seperti buku resepi ‘gah’ berwarna yang biasanya mencecah harga RM100-RM200.


“Mungkin saya akan buat dalam bentuk majalah yang lebih murah. Cuma dengan pihak mana saya akan bekerjasama, itu masih menjadi tanda tanya,” jelas beliau.

SOLAT TAHAJUD DAN BANYAK MEMBERI

Menjalani kehidupan tanpa pasangan pastinya kadangkala mengundang kesunyian, bagaimanapun wanita berusia 45 tahun itu kelihatan tabah dan tenang.

Ditanya nasihat untuk wanita yang keseorangan di luar sana, Permaisuri Siti Aishah pantas menjawab, “amalkan solat tahajud.”

“Cubalah beristiqamah untuk solat tahajud. Kalau tak dapat buat banyak, buat dua rakaat pun jadilah. Banyak fadilatnya, Insya Allah, Tuhan akan bukakan jalan,” ujar beliau.

Mencecah usia hampir separuh abad, harapan beliau hanyalah untuk menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia dan alam sejagat.

“Kita mesti banyak memberi daripada menerima. Tanpa kita sedari hidup kita selama ini sebenarnya banyak kita yang menerima dan kurang memberi.

“Sentiasalah memberi khidmat kepada masyarakat dan kasih sayang kepada ibu bapa selama mereka masih hidup, selain hormat kepada orang tua,” nasihatnya lagi.

WAKAF TELEKUNG SITI AISHAH

Projek wakaf telekung Siti Aishah bermula daripada program latihan kemahiran Projek 1Azam anjuran syarikat D’or Rue Sdn Bhd dengan kerjasama beberapa badan kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, dan Kementerian Sumber Manusia.

Di bawah program 1Azam, kerajaan berhasrat untuk meningkatkan pendapatan golongan kurang berkemampuan seperti ibu tunggal, balu, orang kelainan upaya dan Orang Asli, dengan memberi kemahiran kepada mereka dalam bidang jahitan dan kraf kreatif.

“Apa yang kami lakukan ialah kami ambil semula jahitan mereka dengan bayaran upah untuk dipasarkan.

“Memandangkan potensi dan skil yang telah diberikan di kalangan mereka, D’or Rue terpanggil untuk mengembangkan lagi program ini dengan melaksanakan projek wakaf telekung yang dijenamakan sebagai telekung Siti Aishah ini,” kata Pengarah Urusan syarikat itu, yang juga pengerusi projek, Hanizah Zainuddin.

Beliau memaklumkan sehingga sebelum Ramadan, pihaknya mempunyai 10,000 stok telekung yang akan diagihkan kepada rumah-rumah kebajikan, masjid-masjid, surau, sekolah tahfiz, stesen minyak dan R&R di seluruh negara.

“Projek akan dimulakan serta merta selepas pelancaran ini dan kami berharap dapat melaksanakan amanah wakaf ini sebanyak 5,000 telekung sepanjang bulan Ramadan.

“Jika mendapat sambutan kami akan meneruskan sehingga mencapai sasaran mewakafkan lebih kurang 50,000 telekung,” katanya.

Projek tersebut dijangka berakhir pada Dec 2016. Sepasang telekung dewasa harga wakafnya RM35 manakala untuk kanak-kanak RM30.

Hubungi 03-61841662/667 atau 019-6821965 (Mohd Zaharuddin), 013-3358570 (Wan Farah), 013-2250751 (Norlida), 013-3061175 (Rozita), 013-5118466 (Najwa) dan 010-2919718 (Izziati) untuk pertanyaan.

Mereka yang berminat juga boleh datang sendiri ke pejabat D’or Rue di alamat nombor 23, Kompleks Kilang SME Bank, Jalan SBC6, Taman Sri Batu Caves, 61800 Batu Caves, Selangor. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori