WALAUPUN bukan rakyat Johor sekalipun, rata-rata tahu Sultan Ibrahim seorang yang penyayang terhadap kesemua anakanda baginda.
Malah perasaan gundah kehilangan anakanda Tunku Abdul Jalil jelas ditunjukkan baginda sehinggakan majlis sambutan Hari Raya di istana Johor pada tahun ini ditiadakan.
BACA: Tiada Rumah Terbuka Hari Raya Sultan Johor
Mengenangkan hari ini merupakan Hari Bapa, sedikit sebanyak perasaan sedih tentu ada.
Apa pun, khas sempena Hari Bapa baginda telah menitipkan ucapan di Facebook beserta dengan nasihat yang amat berguna buat tatapan para bapa di luar sana:
‘Hari ini, 19hb Jun 2016, adalah Hari Bapa.
Kepada semua para bapa yang cekal berusaha mencari rezeki untuk keluarga masing-masing, saya sanjungi anda serta ketekunan dan segala pengorbanan yang anda lakukan. Saya juga, sebagai seorang bapa, sangat mengerti bahawa tanggungjawab kita sebagai bapa adalah peranan paling penting dalam kehidupan kita kerana anak-anak kita menjadikan kita, bapa mereka, sebagai contoh, dan gaya mereka mencorakkan kehidupan mereka mencerminkan pengaruh dan perlakuan kita. Semoga anda sentiasa memberi contoh yang baik buat anak-anak anda, dan kekal berada di samping mereka pada ketika mereka amat memerlukan anda. Selamat Hari Bapa saya ucapkan kepada semua para bapa sekalian.’
Bersama posting ini baginda turut berkongsi gambar bersama allahyarham ayahanda baginda Sultan Ismail, Sultanah Raja Zarith Sofiah dan anakanda bongsu Tunku Abu Bakar.
Kepada semua lelaki yang mempunyai anak di luar sana selamat menyambut Hari Bapa diucapkan, ingatlah pesanan baginda iaitu jaga kelakuan kerana ia bakal mencorakkan hidup anak-anak anda dan sentiasalah berada di sisi ketika mereka memerlukan.. – MYNEWSHUB.MY