SINGAPURA – Sebuah pesawat syarikat penerbangan kebangsaan Singapura, Singapore Airlines (SIA) menuju ke Milan, Itali terbakar ketika melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini.
Pesawat SQ368 berlepas dari Changi pukul 2.05 pagi (sama waktu dengan Malaysia) pada 27 Jun namun sekitar dua setengah jam kemudian, pesawat itu terpaksa berpatah balik ke Singapura akibat kebocoran tangki minyak.
Lee Bee Yee, yang berada dalam pesawat tersebut bersama-sama dengan suaminya, memberitahu agensi berita tempatan Mediacorp bahawa pesawat itu kebocoran minyak sekitar tiga jam selepas berlepas dari Singapura.
Katanya, beliau boleh menghidu bau kuat gasolin. Juruterbang malah mengumumkan, pesawat akan berpatah balik kerana enjin kebocoran minyak di sebelah kanan. Kapten berkata mereka tidak boleh menghidupkan enjin di situ.
“Ini kerana pesawat akan bergegar. Dan mereka juga tidak boleh teruskan penerbangan seperti ini ke Milan… Itu sebabnya kena berpatah balik,” kata Bee Yee yang menambah beliau baharu hendak tidur pada ketika itu.
Selepas pesawat tersebut mendarat di Singapura sekitar pukul 7 pagi (sama waktu dengan Malaysia), penumpang bersorak dan bertepuk tangan. Kemudian, percikan api tercetus dan api kelihatan marak di sebelah kanan pesawat.
Mamta Jain, yang suaminya Amit Jain berada dalam pesawat berkenaan, memberitahu Mediacorp bahawa sayap sebelah kanan pesawat itu terbakar teruk setelah kapal terbang SIA tersebut berjaya mendarat di atas landasan.
“Apabila mereka mendarat, suami berkata enjin terbakar dan beliau hanya melihat api kebakaran marak. Mereka semua masih lagi berada dalam pesawat dan tergamam melihat sayap kanan pesawat terbakar,” katanya.
Sementara itu, Bee Yee berkata, beliau dan penumpang lain berasa ketakutan ketika melihat api marak di sayap, namun mereka semua diminta agar terus tenang serta kekal berada di tempat duduk masing-masing.
“Saya berdiri dan bersedia untuk melarikan diri. Namun pengumuman dalam pesawat menasihati kami semua bertenang dan kekal di tempat duduk. Para penumpang ketakutan, namun tiada yang terjerit-jerit,” katanya.
Kata Bee Yee, beliau dan penumpang lain menunggu dengan jantung berdebar-debar selama lima minit sewaktu jentera bomba dan para anggota bomba lapangan terbang berkenaan tiba untuk memadamkan kebakaran.
Apabila pasukan bomba tiba, mereka menyemburkan buih dan air ke arah pesawat itu dan kebakaran tersebut berjaya dipadamkan. Mereka mengambil masa lima hingga 10 minit untuk memadamkan kebakaran, menurutnya.
Kesemua penumpang dipindahkan dari pesawat SIA dan dihantar dengan bas ke terminal lapangan terbang. Para penumpang diberi pilihan sama ada untuk menangguhkan penerbangan atau mengambil pesawat lain, kata Lee lagi.
Mereka yang memilih untuk mengambil penerbangan alternatif terpaksa menaiki pesawat lain pada pukul 8 pagi, dan sesiapa memilih tidak menaiki pesawat akan menginap di sebuah hotel diaturkan oleh pihak SIA. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA