NIBONG TEBAL – Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki Bangladesh dikurung dan dirompak sehingga RM10,000 di Taman Pekaka, di sini Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafee Abdul Samad berkata tiga lelaki tempatan dan seorang Bangladesh berusia 19 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar Nibong Tebal dan Parit Buntar, Perak semalam.
“Lelaki Bangladesh yang ditahan itu dipercayai kenalan mangsa dan mengetahui rakan senegaranya itu mahu pulang ke Bangladesh dengan membawa sejumlah wang hasil simpanan semasa bekerja di Pulau Pinang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata lelaki berusia 30 tahun itu diikat dikurung di sebuah hotel bajet di Taman Pekaka pada Sabtu dan kumpulan lelaki terbabit merampas wang tunai dan kad bank mangsa.
Shafee berkata suspek mengeluarkan kira-kira RM10,000 duit dalam akaun bank lelaki itu sejak hari Sabtu hingga Ahad.
“Mangsa berjaya melarikan diri pada pukul 9 pagi semalam dan menghubungi majikannya bagi meminta bantuan,” katanya.
Beliau berkata empat lelaki terbabit kini direman lima hari bagi membantu siasatan. – BERNAMA