GEORGETOWN – Polis menahan dua lelaki dipercayai menjalankan aktiviti teksi sapu dalam operasi khas membanteras kegiatan itu di Jalan Datuk Keramat, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam operasi lebih enam jam bermula 4.30 petang itu, pihaknya menahan dua lelaki berusia 30-an ketika mereka sedang menunggu pelanggan di hadapan pasar raya di jalan itu.
“Polis turut menyita dua buah kereta Proton Saga dan Iswara yang digunakan dua lelaki berkenaan sebagai teksi sapu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata dalam operasi sehingga 11 malam itu, sebanyak 180 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Operasi khas dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti teksi sapu tidak berleluasa di daerah ini, katanya. – BERNAMA