KUCHING – Kelicikan kumpulan penjenayah ‘Geng Kampung Tabuan’ yang terlibat dalam kes samun, pecah rumah dan curi kereta berakhir selepas lima anggota kumpulan itu ditangkap Selasa lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar M.M Sree Shunmugam berkata anggota kumpulan itu ditangkap dalam serbuan di Kampung Tabuan
di sini, selepas diburu kerana melakukan empat kegiatan samun dan mencuri kereta dalam tempoh kurang 24 jam di Kuching, Padawan dan Kota Samarahan, pada 10 Jun (Jumaat).
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati untuk bulan ini sahaja, Geng Kampung Tabuan itu sudah melakukan 12 aktiviti jenayah melibatkan kerugian kira-kira RM200,000.
“Pada 14 Jun, pasukan JSJ IPK Sarawak menjalankan operasi di kawasan Kampung Tabuan dan lima suspek berusia 22 hingga 37 tahun ditahan.
“Hasil serbuan itu polis merampas 34 harta curi dan peralatan pecah rumah termasuk enam kenderaan curi antaranya tiga kereta Perodua Kancil, sebuah Nissan Almera, sebuah van Suzuki dan sebuah kereta Toyota Corolla,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Dev Kumar berkata berikutan tangkapan tersebut, polis percaya dapat menyelesaikan 12 kes jenayah dilakukan kumpulan itu iaitu tiga kes samun, lima kes curi kereta, tiga kes pecah dan curi serta satu kes mendatangkan cedera semasa cubaan menyamun.
“Semasa ditangkap semua suspek didapati berada di bawah pengaruh dadah. Ujian air kencing, mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine dan suspek kini direman lima hari untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah polis akan menggiatkan usaha mencari saki-baki anggota kumpulan itu.
Pada Jumaat, kumpulan penjenayah yang tidak bertopeng serta bersenjatakan pisau itu menjadikan wanita yang baru balik ke rumah sebagai sasaran.
Mereka bertindak melarikan sebuah Perodua Kancil di Jalan Kempas pada 4 pagi, sebelum meninggalkan kereta berkenaan di Taman BDC dan melarikan sebuah lagi kereta jenis Nissan Almera pada 10 pagi.
Pada 1.30 tengah hari, kumpulan sama menggunakan Nissan Almera itu untuk menyamun seorang wanita di Taman Blossam, Padawan, sebelum menyamun seorang lagi mangsa di Taman APT, Kota Samarahan menggunakan kenÂÂderaan sama. – BERNAMA