KUALA LUMPUR – Proses mudah pemindahan gas petroleum cecair (LPG) ke dalam tong-tong gas untuk dijual, adalah antara punca yang dikenal pasti menggalakkan berlakunya penyelewengan bahan bersubsidi ini, menurut seorang pegawai kanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Mohd Roslan Mahayuddin berkata gas LPG daripada tong bersubsidi dengan mudah boleh dipindahkan ke dalam tong industri tanpa memerlukan penggunaan teknologi atau peralatan yang canggih.
“Hasil pemeriksaan sebelum ini mendapati pihak yang terlibat dengan penyelewengan ini menggunakan kaedah pemindahan gas dengan meletakkan air panas pada tong gas bersubsidi, yang akan menghasilkan tekanan tinggi, manakala kiub ais diletakkan di atas tong industri untuk mewujudkan tekanan rendah.
“Air panas daripada tekanan tinggi itu akan menghasilkan wap gas yang akan disedut masuk ke dalam tong industri yang tekanan rendah,†katanya kepada Bernama di ini hari ini.
Roslan berkata proses pemindahan gas ini juga boleh dilakukan di mana-mana dan disyaki pembeli LPG tong bersubsidi, melalui sindiket terancang, akan melakukannya di kawasan hutan, ladang kelapa sawit dan tanah perkuburan.
Beliau berkata muatan gas tong bersubsidi ialah 12 kilogram (kg) dan 14kg dan proses pemindahan dilakukan ke dalam tong LPG industri dengan muatan 50kg.
Selepas pemindahan ini, sindiket akan menjual LPG dalam tong industri itu kepada pihak industri pada harga pasaran dan ini banyak dikesan berlaku di Semenanjung Malaysia, katanya.
“Selain itu perbezaan harga yang besar antara pasaran domestik dengan yang dijual kepada industri dalam negara dan yang dijual di negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina juga antara punca kegiatan penyelewengan bahan ini sukar dihentikan,” kata Roslan.
Beliau berkata satu lagi bentuk penyelewengan LPG bersubsidi ini ialah melalui penyeludupan oleh sindiket ke negara jiran terutama Indonesia, yang tertumpu di sempadan perairan negara, iaitu kawasan pantai timur Sabah.
“Bagi daerah Tawau, yang dikesan banyak berlaku ketirisan LPG ke Pulau Sebatik, Nunukan dan beberapa kawasan berhampiran Indonesia, kementerian telah mengenakan Larangan Penjualan LPG Kepada Golongan Tidak Layak mulai 15 Jan lalu.
“Hanya warganegara Malaysia, penduduk tetap, pekerja asing yang sah dan mana-mana individu yang diberi kebenaran oleh pengawal sahaja dibenarkan membeli LPG dan semua transaksi jualan wajib direkodkan,†katanya.
Dalam pada itu, Roslan berkata KPDNKK akan menarik balik lesen mana-mana syarikat yang didapati melakukan penyelewengan tersebut setelah disabitkan kesalahan oleh mahkamah bagi menghalang mereka daripada terus beroperasi.
Katanya pihak KPDNKK telah mewujudkan sebuah unit perisikan di bahagian penguatkuasaan sejak setahun yang lalu bagi mendapatkan maklumat mengenai sindiket penyelewengan.
Selain itu, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pasukan Penguat kuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET) oleh Jabatan Peguam Negara serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis marin di Sabah bagi menangani masalah penyelewengan dan penyeludupan bekalan gas LPG ke negara jiran.
KPDNKK juga tidak menafikan kemungkinan wujud amalan rasuah dalam kalangan pegawainya dan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang akan diambil tanpa sebarang tolak ansur sekiranya didapati bersalah.
Roslan berkata setakat 20 Mei, KPDNKK berjaya menumpaskan sebanyak 119 kegiatan penyelewengan gas LPG dengan rampasan bernilai RM2.6 juta.
Baru-baru ini sebuah akhbar tempatan melaporkan penyelewengan bahan bersubsidi khususnya gas LPG terus berleluasa sekalipun kegiatan tersebut telah berulang kali didedahkan media, sekaligus mempersoalkan ketegasan penguatkuasa.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi berkata pihaknya setakat ini tidak menerima laporan berkaitan rasuah dalam isu penyelewengan gas LPG ini.
“Kami (SPRM) akan jalankan siasatan sekiranya laporan diterima,” katanya. – BERNAMA