SUNGAI BESAR – Rafizi Ramli dan pimpinan Pakatan Harapan dicabar untuk membangkitkan semula isu rasuah yang membabitkan pentadbiran negeri Selangor seperti yang didakwa anggota Parlimen Pandan itu sebelum ini.
Pengerusi Pakatan NGO Pro BN & Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM), Zulkarnain Mahdar menyelar sikap Setiausaha Agung PKR dan kepimpinan pembangkang yang dilihat mengamalkan ‘sindrom senyap’ berhubung perkara itu kini.
“Umum telah mengetahui pada 30 Mei yang lepas Rafizi telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu rasuah tersebut.
Adalah tidak adil apabila Rafizi dan pimpinan Pakatan Harapan yang lain dilihat cuba menjadi juara untuk melihat kesalahan Kerajaan Barisan Nasional tapi dalam masa yang sama apabila wujudnya isu rasuah yang melibatkan negeri di bawah pimpinan parti mereka sendiri seolah-olah wujud sindrom senyap oleh mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Zulkarnain berkata alasan kononnya kes rasuah masih disiasat oleh SPRM menyebabkan Rafizi dan pimpinan pakatan harapan lainnya cuba mendiamkan diri juga dilihat sebagai alasan yang terlalu lemah.
“Masa kes 1MDB (1Malaysia Development Bhd) masih disiasat oleh Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara, Rafizi serta pimpinan Pakatan Harapan berterusan menyerang kerajaan, malah walaupun kes itu telah selesai setelah mendapat jawapan rasmipun mereka masih berterusan menyerang kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, kata Zulkarnain, Rafizi dan pembangkang dilihat senyap bila wujudnya kes rasuah yang melibatkan kerajaan di bawah parti mereka sendiri.
“Jika acuan berpolitik sebegini yang cuba dibawa oleh Rafizi dan pimpinan pakatan harapan jelas kelihatan mereka tidak boleh mendakwa mereka sebagai juara intergriti,” katanya.
Baru-baru ini, beberapa portal berita melaporkan kononnya terdapat amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
Laporan itu dibuat berikutan pendedahan perbualan aplikasi WhatsApp Rafizi yang didakwa mendedahkan wujud permintaan untuk mendapatkan wanita sebagai habuan dalam urusan dengan kerajaan negeri.
Rafizi turut membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya berhubung dakwaan salah laku pentadbiran kerajaan negeri itu selain mengemukakan maklumat dan bukti serta individu-individu yang didakwanya terlibat. – BERNAMA