Remaja-remaja di China semakin ramai yang ketagih kepada internet sehingga sanggup memakai lampin pakai buang bagi membolehkan mereka menghabiskan masa selama 17 jam di depan komputer.
Keadaan ini telah membimbangkan ibu bapa dan kerajaan kerana ketagihan internet dianggap sebagai gangguan klinikal disebabkan remaja terbabit sanggup
mengabaikan pelajaran, keluarga dan kehidupan sosial semata-mata mahu melayari web atau bermain permainan dalam talian.
Bagi memulihkan mereka, ibu bapa sanggup membelanjakan $9,000 untuk menghantar anak-anak ke kem pemulihan ala tentera di Pusat Rawatan Ketagihan Internet yang terletak di Beijing.
Mereka akan diajar untuk menghargai kehidupan selama enam bulan.
Pusat berkenaan diasaskan oleh bekas Kolonel pasukan tentera China, Tao Ran pada 2006 dan beliau mendakwa program yang dijalankan itu berjaya menyembuhkan 75 peratus daripada pesakitnya yang berusia antara 13 hingga 26 tahun.
“Remaja yang ketagih internet ini menyangka mereka tidak boleh beredar dari skrin dan sanggup memakai lampin pakai buang.
“Mereka ini boleh disifatkan sebagai gelandangan dan hanya makan sekali sehari demi memenuhi ketagihan berkenaan” kata Tao Ran.