SEORANG pengguna Facebook berkongsikan pengalaman buruknya ketika menjamu selera di sebuah restoran dalam pusat beli belah One Utama, baru-baru ini.
Pelanggan yang merupakan ibu kepada bayi 11 bulan itu berkata, insiden bermula apabila anaknya yang diletakkan di kerusi kanak-kanak secara tak sengaja tertepis dua mangkuk atas meja restoran, membuatkan salah satunya pecah apabila tak sempat disambut.
Dia meminta maaf kepada pekerja restoran terbabit, dan akur apabila dimaklumkan perlu membayar ganti rugi.
Menurutnya, dia tidak kisah soal membayar ganti rugi tersebut.
Bagaimana pun apa yang berlaku selepas itu telah menaikkan kemarahannya.
Semasa melihat menu untuk memesan makanan, anaknya mencapai sudu plastik atas meja makan sebelum ianya terjatuh ke lantai.
Melihatkan perkara itu salah seorang pelayan menjerit kuat kepada temannya yang sedang menanti ‘order’ supaya memeriksa jika sudu tersebut juga telah pecah.
Perbuatannya membuatkan wanita berkenaan berasa bahawa premis itu tidak mengalu-alukan kedatangannya atau pelanggan lain yang datang membawa anak kecil ke sana.
Apatah lagi, wanita itu memberitahu dia yang datang seramai 3 dewasa dan 2 kanak-kanak (termasuk satu kerusi bayi) sudah pun meminta mahu duduk di meja lebih besar kerana meja yang kecil tak cukup untuk menampung pinggan makanan yang akan mereka pesan sekalipun.
Bagaimana pun pelayan di sana tetap menyuruh mereka duduk di meja empat persegi yang kecil walhal masih terdapat banyak meja besar yang kosong.
“Restoran ini memang ‘benci’ pelanggan yang datang sekeluarga. Jika anda datang ke restoran ini bersama kanak-kanak, bersedialah untuk dilayan dengan teruk. Walaupun tempat duduk masih banyak yang kosong, mereka tetap mahu tempatkan kami yang datang – 3 dewasa dan 2 kanak-kanak (termasuk 1 kerusi bayi) di meja kecil. Dah bagi tahu meja itu tak mampu menampung pinggan makanan yang akan kami pesan pun, pekerjanya tetap berkeras supaya kami duduk di meja itu. Bersedialah untuk anak anda juga dimarahi kalau datang sini” tulisnya.
Luahan hati pengguna Facebook ini kemudiannya menjadi viral dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
Rata-rata menyelar sikap pekerja restoran terbabit.
Apa-apa pun, tak mustahil juga kalau tauke restoran itu tak tahu menahu tentang sikap kakitangannya itu tapi tak fasal-fasal bila pos sebegini viral, yang dapat kesannya dah pasti pemilik restoren itu sendiri. – MYNEWSHUB.CC