SEREMBAN – Sebuah daripada enam blok kilang plastik di Kawasan Perindustrian Nilai dekat sini, musnah 80 peratus dalam kebakaran awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Ahmad Ridwan Yahya berkata dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, pekerja kilang bagi syif malam berjaya menyelamatkan diri.
“Kejadian berlaku pada blok penyimpanan produk kilang yang telah siap yang turut menempatkan mesin pembuatan.
“Namun api berjaya dikawal daripada merebak ke blok lain dan tiada mangsa dilaporkan. Api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 5.30 pagi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Ahmad Ridwan berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA