RAMADAN yang tiba tidak menghalang isteri kepada pelakon baharu Shukri Yahaya yang kini hamil tujuh bulan untuk sama-sama menjalani ibadah puasa.
Walau bagaimanapun, Shukri menyarankan isterinya Tya Adnan untuk berpuasa mengikut kemampuan dirinya, memandangkan dia kini berada di trimester ketiga kehamilannya.
Menurut sebuah portal akhbar, Shukri mengalami detik cemas apabila isterinya mengadu bahawa dia tidak dapat merasakan pergerakkan pada bayi dalam kandungannya.
“Kebiasaanya dia dapat merasakan bayi dalam perut aktif bergerak, jadi pada puasa ketiga lalu dia beritahu saya bayi tersebut tidak bergerak.
“Saya cemas dan menyuruh dia minum air, selepas itu barulah dia rasa semula bayi tersebut bergerak. Nasib baik saya berada dengannya ketika itu dan terus membawanya ke hospital untuk buat pemeriksaan,” katanya.
Shukri atau nama sebenarnya Mohd Shukri Yahaya, 28, ketika ditemui oleh portal itu dalam sebuah majlis berbuka puasa berkata, dia tidak mengambil atau menerima sebarang tawaran sepanjang Ramadan kerana ingin memberikan tumpuan kepada isteri dan anak yang bakal lahir.
“Sepanjang berkahwin saya sibuk dengan penggambaran dan tidak banyak masa bersama dengannya, jadi saya ambil peluang bulan Ramadan ini untuk habiskan masa bersamanya.
“Insya-Allah lepas Hari Raya saya akan sambung kerja semula dan sehingga dia bersalin iaitu hujung bulan Ogos ini saya hanya akan ambil penggambaran di sekitar Kuala Lumpur sahaja,” jelasnya.
Shukri Yahaya dan Tya Adnan berkahwin pada 20 November 2015 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, bakal menerima cahaya mata sulung perempuan berdasarkan imbasan yang dilakukan.
“Insya-Allah dapat anak perempuan dan sekarang kami sedang buat persiapan sedikit-sedikit, saya akui paling teruja membeli barang-barang bayi,” kata Shukri. – MYNEWSHUB.CC