KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengingatkan semua ibu bapa atau penjaga supaya tidak membiarkan kanak-kanak menggunakan eskalator secara bersendirian.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ir. Mohtar Musri berkata, perbuatan membiarkan kanak-kanak menggunakan eskalator secara bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa adalah sangat merbahaya.
“Pada tahun 2016, sebanyak tiga insiden melibatkan eskalator dilaporkan kepada JKKP. Hasil siasatan mendapati kebanyakan mangsa kanak-kanak berumur bawah 6 tahun dan dibiarkan menggunakan eskalator tanpa penyeliaan orang dewasa.
“Ibu bapa seharusnya memerhatikan anak mereka apabila menggunakan eskalator,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohtar berkata, sebanyak 10,951 buah eskalator berdaftar dengan pihak JKKP setakat ini.
Katanya, JKKP menjalankan operasi pemeriksaan selamat eskalator untuk memeriksa eskalator sejak awal tahun ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua eskalator berfungsi dan mematuhi standard reka bentuk dan pemasangan yang ditetapkan oleh pihak JKKP.
“Selain itu, pihak JKKP akan mengeluarkan arahan penambahbaikan jika terdapat eskalator yang tidak mencapai standard yang dibenarkan,” katanya. - MYNEWSHUB.CC