PUTRAJAYA – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Selasa memperkenankan pelantikan seramai lapan anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk tempoh tiga tahun iaitu 2016 hingga 2019.
Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini, pelantikan tersebut adalah berdasarkan kepada subseksyen 5 (2) Akta Suhakam 1999 atau Akta 597.
Mereka yang dilantik ialah Prof. Datuk Dr. Aishah Bidin, Francis Johen anak Adam, Datuk Mah Weng Kwai, Datuk Godfrey Gregory Joitol, Dr. Nik Salida Suhaila Nik Salleh, Jerald Jospeh dan Datuk Lok Yim Pheng.
Turut dilantik sebagai anggota ialah Tan Sri Razali Ismail, serta juga diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda menjadi Pengerusi Suhakam yang baharu selaras dengan subseksyen 6 (1) Akta 597 itu.
Beliau pernah mencipta nama sebagai rakyat Malaysia pertama yang dilantik menjadi Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) 1996 – 1997 selain Presiden Majlis Keselamatan PBB 1989 – 1990.
Razali, 77; menggantikan Tan Sri Hasmy Agam yang mempengerusikan Suhakam sejak 2013 setelah mengambil alih jawatan tersebut daripada Tan Sri Abu Talib Othman. – Mynewshub.cc/HAA