BETONG (Sarawak) – Sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) dan surau Sekolah Kebangsaan Kampung Buda di Spaoh, 58km dari sini, runtuh dan ditelan Sungai Saribas dalam satu kejadian hari ini, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Betong.
Pegawai jabatan itu, Sapuan Abu, berkata pihaknya dimaklumkan tentang kejadian itu pada 4.05 pagi dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Taska dan surau berkenaan runtuh akibat hakisan tebing sungai.
Sapuan berkata jabatan itu mengerahkan lapan anggota, diketuai Pegawai Bomba Tony Morni, ke tempat kejadian.
Sekolah dan taska itu kosong kerana cuti sekolah, katanya.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dijadual menaiki pesawat ke tempat kejadian tengah hari ini. – BERNAMA