SEJUMLAH 1.5 juta umat Islam di seluruh dunia sedang mengerjakan ibadahpuasa. Bagaimana pun seperti ramai sedia maklum, tempoh berpuasa di setiap benua berbeza-beza tempoh harinya.
Perbezaan jangka masa ini berlaku kerana tempoh berpuasa bergantung kepada jarak waktu antara matahari terbit dan terbenam, yang berubah-ubah berdasarkan latitud dan longitud sesebuah negara.
Sebagai contoh umat Islam yang tinggal di Bulatan Artik berdepan cabaran hebat apabila matahari hanya tenggelam selama 55 minit hingga 1 jam.
Masyarakat Islam di Utara Finland berpuasa pada pukul 1.35 pagi dan berakhir pada pukul 12.48 pagi hampir keesokan harinya, pada tahun lalu.
Menurut laporan Sinar Harian yang memetik Independent UK, sanak saudara seorang penduduk sana dikenali sebagai Mohammed yang berasal dari Bangladesh mendedahkan, sanak saudaranya yang tinggal di Bangladesh sukar mempercayai bahawa mereka berpuasa selama 23 jam sehari.
Walaupun begitu, Mohammed dan keluarga masih mampu menyempurnakan ibadah puasa tanpa sebarang masalah.
“Mereka akan kata ianya susah untuk dipercayai! Tetapi kami berjaya mengharunginya, malah kami berpuasa tanpa sebarang masalah,” katanya sambil menambah, umat Islam yang tinggal di Lapland sempadan Sweden, mengikut waktu berbuka puasa negara Islam berhampiran.
Tahun in, tempoh puasa terpanjang dilalui umat Islam di Sweden dan Denmark iaitu lebih dari 20 jam sehari.
Manakala Argentina dan Australia mengalami tempoh puasa paling singkat iaitu selama 9 jam 30 minit sahaja. – MYNEWSHUB.CC