VIDEO memaparkan kejadian di sebuah stesen minyak, sebuah kereta disambar api kini tersebar di media sosial.
Berdasarkan rakaman kamera pengawasan (CCTV) sebuah kereta Proton Saga yang sedang diisi petrol oleh pemandunya seorang wanita, tiba-tiba terbakar.
Difahamkan kejadian yang berlaku di Stesen Caltex Guchil, Kuala Krai itu berpunca daripada anak pemandu tersebut yang berusia tujuh tahun, bermain pemetik api di dalam kereta.
Akibatnya kanak-kanak berkenaan yang merupakan murid tahun satu, mengalami kecederaan setelah mukanya melecur disambar api sebelum sempat ditarik keluar oleh ibunya.
Kakitangan stesen berkenaan yang melihat kebakaran itu segera bertindak memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api bagi mengelakkan ia menjadi bertambah teruk.
Kanak-kanak malang berkenaan pula dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II bagi mendapatkan rawatan lanjut. – MYNEWSHUB.CC