KUALA LUMPUR: Sebuah buku 100-halaman bertajuk ‘Banking On Change – Nazir Razak Story’ dijadualkan memasuki kedai-kedai buku tempatan selepas Aidilfitri ini.
Buku ini menerjah kehidupan pengusaha bank terkemuka tersebut, selain memberi pemahaman lebih mendalam mengenai perubahan dan pembaharuan yang ada dalam kotak fikiran Nazir bagi pembangunan negara ini.
Karya ini terhasil rentetan usaha bekas wartawan, T.L Ben menulisnya.
Nazir, 49, adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak merupakan tokoh perbankan yang vokal dalam memberi pandangan terhadap pelbagai isu melibatkan negara ini.
Beliau juga merupakan pencetus beberapa inisiatif seperti penubuhan Majlis Perundingan Negara (NCC) yang membawa hala baru untuk negara.
“Banyak perkara yang diperkatakan Nazir dalam domain awam benar-benar masuk akal dalam konteks pembinaan negara dan menjalin hubungan lebih kukuh di kalangan penduduk berbilang kaum,” catat penulis.
“Dan sebagai seorang tokoh perbankan terkemuka, Nazir mempunyai banyak idea bagaimana mahu mengukuhkan ekonomi dan menguruskan negara dengan lebih cekap.
“Bagaimanapun, Nazir telah menjelaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk melibatkan diri dalam dunia politik. Fokus beliau kini hanya tertumpu kepada pembangunan negara kita.
“Pembuat dasar dan mereka yang memegang autoriti pasti boleh menggunapakai nasihat dan kata-kata hikmat dari buku ini,” tambah penulis sambil mengakui, itulah salah satu sebab yang mendorong beliau menghasilkan buku ini.
Harga buku masih belum ditentukan namun beberapa syarikat penerbitan tempatan dan luar negara dilaporkan telah menunjukkan minat untuk mengedarkannya.. – MYNEWSHUB.CC