SEORANG tukang cuci yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) di sebuah restoran di Singapura, dimaki hamun secara lisan oleh seorang pelanggan.
Ah Xing yang mengalami masalah pekak dan bisu bagaimanapun menjelaskan, dia tidak mambil hati dengan kejadian yang berlaku 4 Jun lalu sebaliknya lebih bimbang jika perlakuannya mengecewakan pelanggan restoran tersebut.
Menurutnya, dia secara tidak sengaja membersihkan dulang makanan pelanggan yang dikenali sebagai Puan Feng, 37, menyebabkan wanita itu naik berang lantas memarahinya dan juga pengurus restoran.
Kejadian Sabtu lalu itu dirakam seorang individu bernama Euphemia Lee yang berada di tempat kejadian sebelum dia turut bertindak memuat naik video tersebut di Facebooknya.
Menerusi klip video berdurasi 3 minit itu, seorang wanita dilihat seolah-olah terkena histeria apabila dulang makanannya ‘diambil’ oleh pekerja pembersihan di restoran tersebut.
Walau bagaimanapun Puan Feng kemudiannya memohon maaf terhadap Ah Xing di atas tindakannya dan turut memberi penjelasan berkenaan insiden itu kepada sebuah portal.
Puan Feng menjelaskan kepada portal The Straits Times, bukan dia sahaja yang bersalah dalam hal itu dan menyuruh Ah Xing memakai tanda atau tag supaya pelanggan tahu bahawa dia seorang yang pekak dan bisu.
“Saya bukan seorang yang jahat atau kejam,” kata Puan Feng.
Disebabkan kejadian itu, dia terpaksa membuat laporan polis apabila menerima mesej berbaur ugutan dan terdapat pihak yang menggelarnya online witch hunt‘.
Tambahnya, dia tidak risau bagaimana orang sekeliling memandangnya kerana di Singapura terdapat undang-undang. – MYNEWSHUB.CC