SEBELUM ini Zamani Ibrahim, 45 pernah menyatakan niatnya mahu menamatkan zaman bujangnya dan kini, dia mengakui sudah berkawan lama dengan bakal isterinya itu.
Bagaimana pun, Zamani masih belum mahu mendedahkan siapa wanita tersebut.
“Pada awalnya dia merupakan peminat saya dan Slam, kemudian dia membantu menguruskan kelab peminat. Dari situ kami mula berkawan rapat dan kami selesa bersama.
“Dia selalu bersama saya ketika jatuh dan bangun dalam industri ini,” katanya kepada BH Online.
Tambah Zamani, dia tidak mahu menghebohkan soal perkahwinannya kerana khuatir ia tidak menjadi seperti yang yang dirancang dan dia juga mahu menghormati keputusan keluarga mereka.
“Saya perlu menghormati keluarga saya dan dia kerana saya juga tak mahu membelakangkan mereka. Saya akan mendahulukan mereka sebelum memberikan apa-apa kenyataan. Saya juga baharu sahaja berbaik dengan keluarga.
“Sekarang saya tidak mahu keruhkan keadaan dengan berita seperti ini. Jika saya mahu melangsungkan perkahwinan, saya akan beritahu media dan peminat. Saya tidak akan sorok,” jelasnya. – MYNEWSHUB.CC