KENANGAN kemeriahan dan keindahan menyambut Ramadan di Rumah Pengasih dirindui vokalis Slam iaitu Zamani ketika mendapat rawatan di pusat itu tahun lalu.
“Sudah lama saya tidak merasai keindahan dan kemeriahan Ramadan dalam erti sebenarnya dan pengalaman menyambut bulan puasa di sana banyak memberi saya kenangan manis.”
Menurutnya kepada sebuah portal berita, perasaan itu timbul kerana terkenang saat-saat bersama penghuni lain melakukan ibadah terawih dan berbuka puasa serta beberapa aktiviti keagamaan yang lain.
“Kami lakukan semua aktiviti yang diaturkan bersama-sama dan tidak pernah meninggalkan solat berjemaah dan terawih.
“Apabila saya sudah keluar dari sana, sambutan Ramadan tahun ini membuatkan saya terkenang suasana di Rumah Pengasih,” katanya.
Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 45, ketika ditemui portal itu pada majlis sidang media Iftar Akustika Zamani & Mawi berkata, dia belum berkesempatan untuk melakukan ibadah terawih di masjid namun akan mencari peluang untuk melaksanakannya.
“Jujurnya saya belum sempat melakukan solat terawih di masjid tetapi akan cuba mencari peluang untuk berbuat demikian.”
Walau bagaimanapun, dia turut meluahkan rasa syukur kerana merasakan Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya kerana pengalaman di Rumah Pengasih banyak mendisplinkannya.
“Tetapi Alhamdulillah puasa tahun ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya dan pengalaman di Rumah Pengasih banyak mendisiplinkan saya,” ujarnya.
Malah pada masa yang sama, Zamani turut merancang untuk meluangkan masa bersama penghuni disana dalam sebuah majlis berbuka pusa dalam masa terdekat ini. – MYNEWSHUB.CC