NEW DELHI – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata isu berkaitan ekonomi, pelancongan, pendidikan, tenaga kerja dan teknologi ketenteraan adalah antara 10 perkara yang akan dibincangkan bersama para pemimpin India dalam lawatan kerja tiga hari beliau ke negara ini.
Ahmad Zahid berkata lawatan sulung beliau sebagai timbalan perdana menteri Malaysia ke India yang bermula pada Ahad, menzahirkan komitmen serta hubungan diplomatik yang akrab antara Malaysia dan India yang terjalin sejak 1957.
“Lawatan ini bukan sahaja untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik kita, tetapi turut melibatkan hubungan kerajaan dengan kerajaan, perniagaan dengan perniagaan dan rakyat dengan rakyat kedua-dua negara. Dari segi diplomasi, ia menunjukkan betapa seriusnya kita untuk mewujudkan situasi menang-menang dalam kedua-dua cara.
“Kedua-dua negara akan turut merayakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada tahun depan. Kebetulan pula, India akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India ke-25 tahun depan,” katanya kepada media Malaysia di sini pada Ahad. – BERNAMA