PENERBIT popular, David Teo mempunyai visi dan misi yang tersendiri iaitu bukan sahaja mahu melahirkan pelakon yang dikenali ramai sebaliknya mahu menjadikannya selebriti di bawah seliaannya bergelar jutawan suatu hari nanti.
Menurut David tidak guna menjadi seorang pelakon namun hidup melarat seperti mana pengakhiran kehidupan seniman agung yang disegani ramai, Tan Sri P. Ramlee.
“Kalau tak jadi jutawan, jangan jadi pelakon. Gila glamor buat apa? Kita kena kaya raya. Jangan seperti P. Ramlee tinggal pun di tepi Bukit Bintang.
“Anak dia kena kerja dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Perbelanjaan kenalah dikawal secara berhemat.
“Kita tak boleh masa glamor lupa diri, berlagak dan berjoli tetapi bila dah tua tak ada duit,” katanya memetik Malay Mail Online.
Antara barisan selebriti yang pernah bernaung di bawah syarikat Metrowealth Pictures (MIG) adalah Lisa Surihani, Shaheizy Sam, Farid Kamil dan Yana Samsudin.


Selepas dirasakan boleh berdikari baharulah mereka meninggalkan syarikat tersebut bagi meluaskan lagi perjalanan karier masing-masing.
“Tak ada perkataan tinggalkan MIG cuma bila sudah dewasa, mereka kena berdikari. Lisa Surihani dan Shaheizy Sam lima tahun bersama MIG.
“Farid Kamil dan Yana Samsudin 11 tahun. Intan Ladyana masih sambung kontrak sejak filem Jangan Pandang Belakang.
“Siapa yang mahu berdikari, saya persilakan tetapi pelakon baharu yang tak ada displin akan dipercepatkan setahun saja kontrak untuk keluar sebab kita nak cipta bintang bukan glamor yang tak ada prestasi,” ujarnya lagi.
MIG merupakan antara syarikat pengeluar filem yang paling aktif di Malaysia dan antara naskhah popularnya seperti Adnan Sempit, Jangan Pandang Belakang dan Jangan Tegur. – MYNEWSHUB.CC