TOKYO – Kira-kira 15 orang terbunuh manakala 45 lagi cedera selepas seorang lelaki bersenjata pisau memasuki dan menyerang sebuah pusat penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) di Sagamihara, pinggir Tokyo.
Stesen penyiar NHK melaporkan, serangan berlaku kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan apabila lelaki berusia lingkungan 20-an memasuki pusat berkenaan.
Suspek kemudian memberitahu polis bahawa dia adalah bekas pekerja di pusat OKU itu, demikian lapor agensi berita Kyodo News.
Jurucakap polis Daerah Kanagawa bagaimanapun tidak dapat mengesahkan angka kematian dalam serangan yang berlaku di Tsukui Yamayuri-en, di barat Tokyo.
Suspek dilaporkan kemudian menyerah diri kepada polis dan mengaku melakukan serangan itu.
Polis sebelum itu menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.30 pagi mengenai seorang lelaki membawa pisau menceroboh masuk ke pusat penjagaan berkenaan.
“Kami masih lagi mengesahkan butiran lanjut mengenai kes ini,” kata jurucakap polis berkenaan. – AFP/BH ONLINE