KOTA BHARU – Dua buah kediaman milik pelajar dan tenaga pengajar di Pondok Pasir Tumboh di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Azmi Osman berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 2.03 petang.
Sebaik menerima laporan, sepasukan 17 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Tunjong dan Pasir Tumboh dikejarkan ke tempat kejadian, katanya kepada pemberita selepas meninjau kebakaran itu di sini hari ini.
Azmi berkata anggota bomba mengambil masa selama 15 minit untuk memadam dan mengawal kebakaran itu daripada merebak ke kediaman pelajar lain yang terletak berdekatan.
“Tiada kecederaan dalam kejadian itu kerana semua penghuni tiada di rumah kerana bercuti hujung minggu, setakat ini jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM50,000 manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Kebakaran kali ini adalah yang kedua membabitkan pondok pengajian agama tersebut.
Pada 17 Jun lalu, sebuah blok bangunan asrama dua tingkat yang menempatkan pelajar muslimat musnah dalam kebakaran, bagaimanapun kesemua pelajarnya terselamat. – BERNAMA